Oct 23, 2012

Mengapa Melayu bukan pilihan


“You masuk MELAYU?!” jerkah si ibu tanda berang.
“No, I masuk ISLAM mummy, I bukan masuk MELAYU”


Sewaktu terlafaznya syahadah oleh seorang saudara baru Islam, kebahagiaan tidak terkata. Sama ada kepada si pelafaznya mahupun yang menyaksikannya. Sungguh aneh perasaan ketika itu. Hanya syukur kepadaMu ya Allah yang mampu dipanjatkan.

Sokongan yang diberikan kepada saudara baru itu bukan sekadar kehangatan yang sementara, malah atas nama ukhuwah susah senang diharung bersama. Walau ada segelintir yang memandang seorang muallaf itu sebagai seorang yang sedikit ilmu agama di dadanya jika nak dibandingkan dengan mereka yang lebih ‘lama’ berkecimpung dalam agama ini. Benarkah itu? Sudah sedalam mana kita mengkaji dan mendalami sendiri agama yang kita kata agama kita ini?

Tidak cukup dengan itu, seorang muallaf itu perlu berhadapan dengan ahli keluarga dan sahabat-sahabat yang tidak mengerti. Disisihkan kerana tidak faham bahawa apabila seseorang itu masuk ke dalam agama Islam bukan bermakna terputusnya hubungan. Yang paling ketara terpisahnya hubungan antara seorang anak dengan ibu bapa dan keluarganya. Dalam Islam, tiada konsep ini. Ibu bapa tetap wajib dihormati dan dikasihi.

Nama yang terpaksa di ‘melayu’kan, dan itu yang menjadi orang salah sangka masuk ISLAM itu bermakna masuk MELAYU. Tidak. ISLAM itu agama, MELAYU itu bangsa.



Namun, bila terdengar mereka kecewa jika seseorang itu masuk melayu apakah mereka memandang bangsa MELAYU ini sebagai suatu bangsa yang tidak boleh dibanggakan? Tidakkah kita rasa terpukul dengan respons seperti itu? Bukankah kita melayu itu atau kita sendiri rasa malu untuk mengaku? Sedangkan jika berdarah campuran, bangga kita mengakuinya? Dimanakah silapnya?

Tanda tanya bertubi-tubi tidak akan merungkai persoalan.

Apakah kita mahu bangsa Melayu terus diperlekehkan seperti ini?

Bagiku, jawapannya pasti tidak.

Sekali lagi, tanda tanya bertubi-tubi tidak akan merungkaikan persoalan. Sesuatu perlu dilaksanakan. Kesepakatan harus dibina dan diperkuat. Minda perlu disedarkan dan gerak kerja perlu ditingkatkan. Bingkaslah bangun wahai saudara-saudaraku. Usah selesa dengan keadaaan yang kita sangka bahagia. Bahagiakah bila kes kejatuhan akhlak paling banyak di kalangan orang Melayu? Zina, judi, buang anak, riba, rompak, ragut, seks songsang. Kes transgender paling banyak dikalangan Melayu, yang masih mengaku Islam. Oh tak terkata banyaknya dosa dan maksiat ini mencengkam masyarakat kita.

Jangan asyik disalahkan pemimpin sahaja, kita manusia punya akal fikiran, pilih mana yang baik untuk diikuti, yang buruk ditinggalkan. Tiada guna tuding jari sana, tuding jari sini, permulaan yang bijak adalah bermula dari diri sendiri, bukannya mengharapkan pada orang lain.

Jadilah tauladan yang baik demi menjaga nama baik Islam. Bukan hanya mengharapkan orang lain tetapi seruan ini untuk semua, setiap kita. Tanggungjawab setiap individu. Ini bukan lagi menjadi fardu kifayah, semua ingin berlepas diri, kerana tanggungjawab menegakkan Islam itu belum lagi terlaksana.

Bayangkan ada yang meluah rasa begini, “Nasib baik aku kenal Islam dulu baru kenal Melayu, kalau kenal Melayu dulu tak masuk Islamlah aku

Ouch, teruk sangat ke orang Melayu ni?! Aku terasa, apakah kau tidak terkesan dengan kata-kata ini?

Di sinilah perlunya untuk kita perbaiki diri kerana ia secara tidak langsung telah menjadi fitnah kepada agama Islam itu sendiri. Memang orang kata, nak tengok Islam jangan judge kepada bangsa Melayu, tetapi tak salahkan jika kita orang Melayu membawa nama baik Islam kepada orang bukan Islam?Lagi-lagi di Malaysia yang terang lagi bersuluh Melayunya lebih ramai. So nak tak nak memang orang akan relatekan Melayu = Islam.

Jangan marah atau mencemuh orang yang menghukum Melayu = Islam, tetapi pikullah dengan penuh rasa tanggungjawab. Setiap kita menjadi ikon/model kepada agama Islam, berasa takutlah jika kita tercalitkan noda kepada agama Islam yang suci ini. Jangan rasakan ini sesuatu bebanan yang berat tetapi pikullah ia dengan penuh rela kerana ini membuktikan setinggi mana keyakinan kita kepada janji Allah.

Allah berfirman : "Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." (Muhammad 47:7)

Ok. Ok. I sniff something from the readers. Entry ini bukan bersifat perkauman, cuma nak tekankan supaya orang Melayu perlu bangun membina jati diri! Lebih tepat lagi persiapkan diri dengan jati diri Islam. Mengikut acuan seorang muslim yang sejati. Bangun menjadi bangsa yang boleh dibanggakan, bukan diperkotak-katikkan.

Tidaklah pula menafikan, ada juga Islam di kalangan bangsa lain. Ya, itu pastilah sesuatu yang menggembirakan kerana bertambah saudara seaqidah kita. Tidak dinafikan hak mereka untuk memeluk agama ini, sedangkan itulah yang terbaik. Cuma, andai semua Melayu yang ada, mengamalkan agama Islam sebenarnya, bukankah lebih terpancar keindahan Islam yang sering kita perkatakan itu. Maka, orang-orang bukan Islam pun lebih mudah nampak "Oh inilah Islam yang sebenarnya", bukannya seperti sekarang, keliru dan mengelirukan.

Tepuk dada, tanya iman. Adakah ada perbuatan aku selama ini yang secara tidak langsung telah memalukan atau mencalitkan fitnah kepada agama Allah ini? Oh apakah selama ini aku telah menjadi hambaNya yg selayak dan sepatutnya?

Allahu Allah..
Hanya diri yang mampu menilai sejauh mana diri kita berguna untuk Islam..




Duduk diam-diam, fikir sejenak. Kata ISLAM, apa bukti?





4 comments:

Unknown said...

takut sangat kalau2 diri saya ni hanya Islam pada nama...seronok baca entri ni..saling memberi peringatan

Unknown said...

=) Rasanya bukan sebab orang 'MELAYU' tapi sebab ramai tak faham konsep 'ISLAM' =)

MahfuzahHusna said...

GREAT POST! Malu jugak sbb Melayu ni dipandang rendah. Salah sendiri bila orang salah faham tentang Melayu dan Islam. Merah, ya sbb BP. Mungkin sbb kesan suntikan awal jgak, apa2 pun fuzah dah sihat Alhamdulillah. Tak lupa, SELAMAT HARI RAYA! (=

teratai said...

Semoga kita orang melayu yg dilahirkan sebagai Islam...menyedari betapa beruntungnya dan menjaga kesucian Islam serta mendalaminya supaya disegani n boleh dijadikan idola bangsa lain. Bukan sebaliknya!